Wisma Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) bakal diroboh tidak lama lagi, untuk memberi laluan kepada pemaju-pemaju Semenanjung Malaysia membina kondominium mewah di tapak berkenaan.
Menurut beberapa orang penghuni terakhir kedai-kedai di tingkat bawah Wisma KOSAN, mereka telah diarah untuk berpindah beberapa bulan yang lalu.
Tapi terbaru-baru ini, mereka secara lisan telah diarah untuk berkemas dan berpindah sebelum 30 Julai 2021.
Walaupun tidak ingin, mereka sudah tiada pilihan selain mencari kedai di tempat-tempat lain.
Di media sosial, penduduk-penduduk tempatan, khususnya bekas pelajar-pelajar SM All Saints, SM Lok Yuk dan SMK Likas telah meluahkan perasaan kesal dengan perkembangan terkini, kerana tempat tersebut telah melahirkan banyak kenangan.
Selain mempunyai kuih pisang, roti canai dan popiah yang terkenal, Wisma KOSAN juga dipenuhi kenangan pelajar-pelajar membeli aiskrim, buku, pita video, berlepak di cyber cafe ICC, Hasyim Cafe, Dayang Cafe dan sebagainya.
Ia pernah mempunyai tempat bermain boling di tingkat bawah, sebelum diambil alih oleh pasar raya Kemayan, pasar raya Likas Mart, dan akhirnya pasar raya Giant.
Untuk pelajar-pelajar yang lebih nakal, “port” tersebut juga pernah digunakan sebagai tempat ponteng kelas, ataupun kadang-kadang bergaduh dan bertumbuk ala-ala samseng.
APA YANG BERLAKU?
Semakan ke Bursa Malaysia mendapati bahawa KOSAN yang berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah merupakan pemilik tanah seluas 1.85 ekar tersebut selama ini.
Namun, pada bulan Ogos 2015, sebuah usahasama (joint-venture) telah termeterai di antara KOSAN (sebagai pemilik tanah) dan Harmoni Bumiria Sdn Bhd yang berpengkalan di Kuala Lumpur (sebagai pemaju).
Sumber dalam KOSAN memaklumkan inisabahbah.com bahawa pada ketika itu, ahli-ahli koperasi KOSAN telah membantah usahasama tersebut kerana berpandangan bahawa terma-terma dan syarat-syarat usahasama tidak jelas.
Ahli-ahli koperasi juga tidak bersetuju dengan usahasama bersama pemaju swasta kerana penjelasan terperinci berkenaan manfaat dan faedah yang boleh dinikmati oleh ahli-ahli koperasi KOSAN tidak diterangkan.
Walau bagaimanapun, Lembaga Pengarah KOSAN yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan UMNO pada ketika itu, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan telah mengetepikan bantahan ahli-ahli koperasi KOSAN dan meneruskan perjanjian usahasama dengan syarikat pemaju swasta Harmoni Bumiria.
Pada suku ketiga tahun 2018, Asian Pac Holdings Berhad, sebuah lagi syarikat juga berpengkalan di Semenanjung Malaysia telah membeli 90% (90,000 unit) saham syarikat Harmoni Bumiria dengan nilai RM3.15 juta, sekaligus memegang kawalan majoriti dalam syarikat Harmoni Bumiria.
Di antara tahun 2018 sehingga tahun 2020, ahli-ahli koperasi KOSAN pernah membawa masalah ini ke perhatian tiga wakil rakyat DAP.
Ketiga-tiga wakil rakyat DAP tersebut adalah Tan Lee Fatt (ADUN Likas), Frankie Poon Ming Fung (bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ADUN Tanjong Papat) dan Ginger Phoong Jin Zhe (bekas Menteri Belia dan Sukan merangkap ADUN Luyang).
Menurut ahli-ahli koperasi KOSAN, wakil-wakil rakyat DAP berkenaan telah berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut, tetapi masalah tersebut tidak pernah diselesaikan secara keseluruhan.
Ahli-ahli koperasi KOSAN tersebut menambah, di antara tahun 2015 sehingga 2020, walaupun bangunan Wisma KOSAN tidak diroboh, persiapan ke arah perobohan telah dilaksanakan.
Satu persatu penduduk-penduduk di Wisma KOSAN telah diusir secara halus.
Ianya bermula dengan penghuni-penghuni rumah di tigkat-tingkat atas, sebelum akhirnya penghuni-penghuni kedai di tingkat bawah.
Penghuni-penghuni kedai yang berkemas dan berpindah pada hari ini, 30 Julai 2021 merupakan kumpulan terakhir yang terpaksa berpindah.
Tambah seorang lagi sumber dalam KOSAN, apa yang berlaku dalam setahun terakhir ini paling mengecewakan dan mengejutkan.
Kata sumber tersebut, Lembaga Pengarah KOSAN telah menggunakan peluang pandemik Covid-19 untuk melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan secara talian melalui aplikasi Zoom.
Oleh kerana majoriti ahli-ahli koperasi tidak mahir dalam bidang teknologi atau tidak mempunyai akses internet yang stabil, sebilangan besar ahli-ahli koperasi telah dinafikan peluang menyatakan bantahan kepada pimpinan KOSAN.
inisabahbah.com tidak dapat mengesahkan butiran atau status terkini perjanjian usahasama tersebut.
Namun, semakan dalam internet mendapati sebuah projek yang bernama Likas Vue telah dilancar pada hujung tahun 2019.
Agen-agen yang menjual hartanah tersebut juga menunjukkan bahawa Likas Vue terletak di tapak di mana Wisma KOSAN kini bertapak.
Kesemua ahli-ahli koperasi KOSAN yang ditemui oleh inisabahbah.com berkata, mereka sebagai pemegang taruh yang berkepentingan masih tidak tahu berapa lot atau unit telah dijanjikan kepada KOSAN.
Mereka yakin bahawa sebagai ahli-ahli koperasi, hak-hak mereka perlu diketengahkan dan dipertahankan.
Dalam masa yang sama, mereka berasa khuatir sekiranya perjanjian samar-samar bersama pemaju berkemungkinan merugikan pihak KOSAN dan ahli-ahli koperasi di masa akan datang.