Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta agar bangsa Melayu Bumiputera bersatu dan mengelakkan perpecahan.
“Ingin saya tekankan betapa pentingnya Melayu Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar.”
“Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menolak bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah tidak lama,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Kenyataan Ismail Sabri itu dibuat ketika pergolakan dalaman UMNO sedang berlaku di antara kumpulan ‘Kluster Menteri’ yang cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN) dengan kumpulan yang menolak kerjasama dengan gabungan yang dipimpinan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Sebelum ini, lebih 100 bahagian UMNO telah mengusul agar kerjasama di antara UMNO dengan PPBM ditamatkan. Keputusan itu dikatakan bakal diputuskan dalam perhimpunan agung UMNO yang dijadual pada Mac ini.
Di Sabah, kerjasama di antara UMNO dengan PPBM masih terjalin. Mereka telah membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama parti-parti bukan Melayu lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).