Dalam usaha menarik sokongan di Sabah, Pakatan Harapan (PH) telah menarik darah daging bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.
Parti yang berpengkalan di Malaya itu dilihat menjulang Datuk Seri Anifah Aman bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sekurang-kurangnya dua ceramah semalam- Ketiau, Putatan dan Sulaman Sentral, Sepanggar.
Dalam ucapannya di Putatan, Anifah telah memuji Anwar.
Bekas pemimpin UMNO itu turut menyeru orang ramai menyokong Anwar yang merupakan bekas Timbalan Presiden UMNO.
“Saya sertai politik sebab Anwar. Beliaulah sebabnya saya menceburi bidang politik.”
“Ini masanya kita selamatkan Malaysia. Tiada orang lain mampu melakukannya kecuali Anwar.”
“Beri Anwar peluang menjadi Perdana Menteri,” kata Anifah.
Seorang ahli DAP Sabah yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, beliau berasa terkejut dengan perkembangan tersebut.
Beliau menghadiri ceramah PH di Sulaman Sentral, Sepanggar.
“Saya akui sambutan terhadap PH tidak baik. Tetapi perbuatan (bekerjasama dengan adik Musa) tidak boleh diterima.”
“Adakah orang Sabah sudah lupa bagaimana 46 pertuduhan rasuah terhadap Musa Aman digugurkan begitu sahaja pada tahun 2020?”
“Sebagai sukarelawan yang membantu calon PH, saya berasa ditipu.”
“Saya berasa PH juga menipu dan mengkhianat orang Sabah.”
Untuk rekod, Anifah telah mengisytihar keluar BN pada tahun 2018, selepas BN ditumbangkan oleh Warisan di peringkat Sabah.
Sudulan kemenangan Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, sekaligus menamatkan pemerintahan 15-tahun Musa di Sabah.
Pada November 2018, Musa dibawa ke mahkamah untuk menghadap 35 pertuduhan rasuah berkenaan konsesi balak yang bernilai sekitar RM250 juta.
Pada Mac 2019, Musa didakwa lagi dengan 16 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai sekitar RM160 juta.
Musa yang juga digelar sebagai “vacuum cleaner” kemudiannya menghilangkan diri dengan alasan sakit.