ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony berkata keputusan meninggalkan Warisan bukan disebabkan oleh kes jenayah mahkamah yang dihadapi olehnya.
“Keputusan keluar dari WARISAN ini bukanlah sebab saya masih ada kes di mahkamah,” katanya ketika ditemui oleh wartawan selepas pulang dari Kuala Lumpur hari ini.
”Kes berkenaan belum diputuskan yang menyatakan saya memalsukan dokumen.”
“Keseluruhan kes masih di peringkat mahkamah, saya percaya dalam masa terdekat ini, ia akan dibuktikan saya dan keluarga tidak membuat kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen itu,” jelasnya.
Peter pada hari ini mengumumkan keluar Warisan bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan bakal menubuhkan satu parti baharu dalam masa terdekat.
“Saya dan YB Datuk Juil umum keluar dari WARISAN untuk kebaikan negeri Sabah kerana perjuangan ini bukanlah perjuangan perseorangan.”
”Ini adalaah perjuangan untuk rakyat.”
“Menjadi wakil rakyat adalah tanggungjawab kita untuk membela rakyat. Tetapi apabila kita berseorangan atau tidak bersama dengan pemimpin-pemimpin yang ada terutama di Sabah, bagaimana kita mahu bantu rakyat yang susah ketika ini,” katanya.
Untuk rekod, percubaan Peter untuk membebaskan diri daripada pertuduhan pemalsuan dokumen telah gagal pada 14 Disember yang lalu.
Mahkamah Sesyen telah mengarahnya membela diri dalam pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (ME) di universiti Malaysia Sabah pada 2014.