Orang ramai, termasuk warga asing yang memasuki Sabah tidak perlu menjalani kuarantin wajib bermula 1 April, umum Kerajaan Negeri pada hari Selasa.
Walau bagaimanapun, beberapa syarat seperti mempunyai dua dos vaksin perlu dipenuhi.
Datuk Seri Masidi Manjun yang merupakan Jurucakap Rasmi Covid-19 berkata, pengembara yang memasuki Sabah dari luar negara hanya perlu menjalani ujian pengesanan RTK-Antigen (RTK-Ag) sebelum mendapat pelepasan di pintu Imigresen.
Pengembara yang transit melalui KLIA atau KLIA2 pula dibenar masuk tanpa perlu membuat ujian, sekiranya ujian RTK-Ag di KLIA atau KLIA2 adalah negatif.
Antara SOP lain yang dikenakan adalah kewajipan memuat turun, daftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera, serta melengkapi deklarasi perjalanan yang mengandungi butiran vaksinasi.
Warga asing juga dikehendaki mempunyai insurans perjalanan dan insurans Covid-19.
Masidi menambah, kanak-kanak di bawah umur 6 tahun dikecualikan daripada membuat sebarang ujian Covid-19.
Remaja di bawah 17 tahun yang belum lengkap 2 dos vaksin juga dikecualikan daripada keperluan menjalani kuarantin.