Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin menerima tamparan hebat semalam apabila buat pertama kali dalam sejarah penubuhan negara, Yang di-Pertuan Agong mengetepikan cadangan Kabinet dalam menentukan pelaksanaan darurat.
Tamparan hebat itu tidak lama selepas Muhyiddin berdepan tekanan daripada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan sebahagian pemimpin UMNO untuk terus mengekalkan hayat pentadbiran kerajaan PN yang baru berusia tujuh bulan itu.
Setelah lebih 60 tahun Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu menuruti nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dalam melaksanakan perkara penting di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, semalam Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat titah bijaksana bagi mengelakkan institusi diraja terheret dalam kemelut politik.
Dalam satu kenyataan, Istana Negara menegaskan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini sekarang.
Majoriti rakyat Malaysia menyifatkan keputusan itu menyerlahkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang adil dan saksama dalam menyelesaikan krisis negara.
Keputusan Yang di-Pertuan Agong itu turut membawa kepada persoalan lebih besar, iaitu adakah Muhyiddin bakal kehilangan sokongan di Parlimen?
Bagi menjawab persoalan itu, pakar undang-undang, Profesor Salleh Buang mengajak rakyat untuk kembali menyelami intipati pelaksanaan proklamasi darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 150 (1) menjelaskan sekiranya Agong berpuas hati dengan kewujudan keadaan yang menyebabkan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam di negara ini terancam, maka Seri Paduka Baginda boleh mengisytiharkan proklamasi darurat.”
“Jadi dalam konteks ini, keputusan itu berkemungkinan mengambil kira kebijaksanaan Agong dalam menilai keadaan krisis semasa yang dihadapi negara masih terkawal,” katanya semalam.
Ditanya mengenai implikasi keputusan Yang di-Pertuan Agong terhadap masa hadapan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, Salleh menegaskan, Perdana Menteri dan kerajaan PN sebenarnya sudah boleh menghitung hari-hari terakhir mereka menerajui kerajaan sedia ada.
“Pandangan peribadi saya, sepatutnya Muhyiddin wajar membuat keputusan bijak dengan mengundurkan diri bagi memberi ruang kepada Agong menggunakan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda sekali lagi dalam menentukan hala tuju politik negara.”
Bagi pakar undang-undang, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, usaha kerajaan PN untuk mendapatkan pengisytiharan darurat mungkin mempunyai kaitan dengan usul undi tidak percaya di Parlimen sekali gus memungkinkan Belanjawan 2021 tidak diluluskan.
“Sekiranya darurat diisytiharkan maka dengan menggunakan kuasa darurat, Belanjawan 2021 boleh dimasyhurkan tanpa perlu mendapat kelulusan Parlimen.”
“Semasa darurat pula Yang di-Pertuan Agong kebiasaannya menurut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, undang-undang (Ordinan) juga dapat dibuat dengan menggunakan kuasa darurat,” katanya.
Tambah beliau, apabila rang undang-undang yang penting seperti Belanjawan tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat kerana tidak mendapat sokongan majoriti, maka ia juga boleh menjadi alasan untuk membuat kesimpulan bahawa Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.