Kemenangan setiap calon yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikira sebagai kemenangan Bersatu kerana ia adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) yang berpengkalan di Malaya.
Sambil menyatakan calon Bersatu akan menggunakan logo GRS, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Pengerusi PN berkata, perkara itu adalah antara persefahaman yang dicapai pihaknya selepas mesyuarat yang diadakan di Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra, Kota Kinabalu pada hari Selasa.
“Itu persefahaman yang telah dicapai, tiada isu atau masalah dalam soal itu…situasi agak luar biasa sedikit di Sabah yang terbentuk Kerajaan Negeri hasil persefahaman parti-parti walaupun Peringkat Persekutuan tidak sehaluan, di sini keadaan istimewa, kami menerima perbezaan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kebijaksanaan Datuk Seri Hajiji Noor yang merupakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu bagi mencapai kata sepakat yang memberi keuntungan serta faedah kepada parti.