Sekeping surat dari Datuk Seri Masidi Manjun selaku Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah didedahkan dalam Parlimen pada hari ini.
Membaca surat bertarikh 3 November tersebut, Datuk Seri Ronald Kiandee yang merupakan Pengerusi Bersatu Sabah berkata, Masidi telah mengakui bahawa enam orang calon GRS yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebenarnya merupakan ahli dan calon Bersatu ketika bertanding.
Enam calon tersebut adalah:
1. Datuk Ruddy Awah (P167 Kudat)
2. Datuk Armizan Mohd Ali (P175 Papar)
3. Datuk Matbali Musah (P178 Sipitang)
4. Datuk Jonathan Yasin (P179 Ranau)
5. Khairul Firdaus Akhbar Khan (P185 Batu Sapi)
6. Nixon Abdul Hadi (P189 Semporna)
Daripada jumlah enam calon tersebut, empat orang telah memenangi kerusi masing-masing dan menjadi Ahli Parlimen.
Mereka adalah Armizan (Papar), Matbali (Sipitang), Jonathan (Ranau) dan Khairul (Batu Sapi).
Walau bagaimanapun, apabila disahkan Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk Kerajaan Persekutuan, pimpinan tertinggi GRS telah membuat pusingan U dan mendakwa bahawa mereka bukan lagi ahli Bersatu.
Akibat tindakan tersebut, suatu krisis Perlembagaan dan krisis politik telah tercetus.
Akta Anti-lompat Parti
Menurut Akta Anti Lompat Parti yang telah dikuatkuasakan sejak 5 Oktober yang lalu, wakil rakyat yang keluar parti atau melompat parti selepas Pilihan Raya akan hilang kelayakan menjadi wakil rakyat dan kerusi yang dipegang dikosongkan serta merta bagi memberi laluan kepada sebuah Pilihan Raya diadakan.
Sumber dalam GRS berkata, pimpinan tertinggi GRS sebenarnya berasa tertekan kerana takut kehilangan kuasa.
Oleh itu, Datuk Seri Hajiji Noor yang merupakan Pengerusi GRS sedang membuat percaturan dan tindak tanduk yang terdesak demi kekal berkuasa.