Sekatan terhadap pergerakan merentas daerah di negeri Sabah akan diteruskan, kerana ini merupakan permintaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, penduduk di seluruh negara akan dibenar merentas daerah bermula 5 Mac ini.
Walau bagaimanapun, Sabah akan terus menjadi satu-satu negeri di Malaysia yang masih menyekat pergerakan merentas daerah.
“Berhubung Sabah, kerajaan negeri sebenarnya memohon supaya sekatan daerah di negeri itu dikekalkan untuk tempoh dua minggu.”
“Kita faham Sabah negeri yang besar yang mana satu daerah mereka sebenarnya lebih besar daripada kebanyakan negeri di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan pelaksanaan PKP hari ini.
Untuk rekod, Sarawak yang lebih besar daripada Sabah akan membenarkan pergerakan merentas daerah bermula 5 Mac ini, bersama seluruh Semenanjung Malaysia.