Harga getah berada di luar kawalan kerajaan, oleh itu, para pekebun kecil getah diminta supaya tidak menyalahkan GRS, demikian kata Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Gapari Kitingan pada hari Ahad.
Ini berikutan keadaan di mana harga getah di Sabah telah jatuh ke paras yang sangat rendah sejak kebelakangan ini.
Bercakap di dialog Lembaga Perusahaan Getah Sabah (LIGS) dan ahli Persatuan Pekebun Kecil Getah Keningau pada hari Ahad, Jeffrey yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, harga getah tidak ditetapkan oleh kementeriannya atau LIGS, sebaliknya turun naiknya ditentukan oleh permintaan komoditi itu di pasaran global.
Selain itu, beliau berkata harga bekalan seperti racun perosak dan baja adalah di bawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) persekutuan dan bukannya kementeriannya atau LIGS.
“Adalah penting untuk memahami faktor ini supaya tidak ada pihak yang menyalahkan pihak yang salah atau menganggap kementerian mempunyai kuasa tanpa had untuk menaikkan atau menurunkan harga sesuka hati.”
“Jika ianya di pihak kami, sudah tentu kita akan mengawal harga sewajarnya supaya rakyat kita mendapat pendapatan yang lebih baik.”
Untuk rekod, masalah harga lantai getah yang rendah telah menjadi modal politik STAR ketika menjadi pembangkang.
Mereka telah menyalahkan Kerajaan Warisan yang terdahulu kerana tidak mampu menaikkan harga lantai getah.