Aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu akan dibuka semula bermula hari Jumaat ini (5 Mac).
Walau bagaimanapun, timbul persoalan sama ada kebenaran ini terhad kepada penduduk-penduduk daerah Ranau sahaja.
Ini kerana pergerakan merentas daerah masih berkuatkuasa seperti yang dimohon oleh Kerajaan Negeri Sabah sendiri.
Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah atau Taman-Taman Sabah (TTS) telah memaklumkan pembukaan semula Gunung Kinabalu melalui kenyataan di laman Facebook pada hari Isnin.
Namun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media semalam berkata, seluruh negara akan dibenar merentas daerah bermula hari Jumaat ini, kecuali Sabah.
Mengikut Ismail Sabri, sekatan merentas daerah di Sabah akan diteruskan atas permintaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Berhubung Sabah, kerajaan negeri sebenarnya memohon supaya sekatan daerah di negeri itu dikekalkan untuk tempoh dua minggu.”
“Kita faham Sabah negeri yang besar yang mana satu daerah mereka sebenarnya lebih besar daripada kebanyakan negeri di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan pelaksanaan PKP hari ini.
Untuk rekod, Sarawak yang lebih besar daripada Sabah akan membenarkan pergerakan merentas daerah bermula 5 Mac ini, bersama seluruh Semenanjung Malaysia.