Ahli Parlimen DAP untuk kawasan Kota Kinabalu, Chan Foong Hin telah mengaku bahawa Pengerusi parti DAP, Lim Guan Eng telah bertemu dengan Datuk Seri Hajiji Noor untuk rundingan pada sekitar hujung tahun lalu.
Melalui sebuah kenyataan media yang dikeluarkan pada hari Khamis, Datuk Junz Wong yang merupakan Naib Presiden Warisan berkata, PH telah mengkhianat blok pembangkang selepas menandatangani Memoramdum Persefahaman dengan Perdana Menteri UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Junz menambah, DAP telah mengeruhkan lagi keadaan apabila Setiausaha Agung DAP pada ketika itu, Lim Guan Eng turun ke Sabah untuk berunding sebuah lagi MOU peringkat Sabah bersama Hajiji.
Menjawab pendedahan Junz, Chan Foong Hin pada hari ini telah mengaku dan mengesahkan bahawa pertemuan dan perbincangan di antara Guan Eng dan Hajiji telah berlangsung pada hujung tahun lalu.
“Sekitar tahun lalu, selepas MOU peringkat Persekutuan termeterai, Lim Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung pada ketika itu telah dijemput untuk bertemu dengan Hajiji, dan Guan Eng bersetuju dengan pertemuan tersebut.”
“Ia cuma suatu penghormatan kerana Hajiji merupakan Ketua Menteri Sabah.”
DAP sedang menghadapi tekanan ekoran pendedahan bahawa PH telah menerima ratusan juta ringgit dari Kerajaan Persekutuan, selepas menandatangani MOU bersama Kerajaan Persekutuan.
Pada bulan November tahun lalu, sumber-sumber dalam PKR juga mendedahkan bahawa DAP merupakan perancang utama MOU di peringkat Sabah di antara Sabah PH dan GRS.
Dato’ Azis Jamman yang merupakan Ketua Wira Warisan melalui sebuah kenyataan semalam turut menyoal sama ada MOU yang dicadang oleh PH adalah demi rakyat atau demi peruntukan.