Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata DAP tidak menolak kemungkinan partinya menjalin kerjasama dengan UMNO demi membentuk kerajaan, kerana “segalanya mungkin dalam politik”, katanya.
Bagaimanapun, sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum seterusnya (PRU15).
Anthony berkata, politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti dominan tunggal.
Oleh itu, kemungkinan kerjasama di antara parti berbeza menjadi lebih tinggi.
Kebelakangan ini, DAP dan rakan komponen Pakatan Harapan (PH), PKR dan Amanah, telah bekerjasama dengan UMNO dalam perkara seperti Memorandum Persefahaman di antara PH dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya tidak tolak (sebarang kemungkinan) kerana apa yang penting adalah kita (semua pihak) mesti berasaskan agenda,” katanya dalam suatu wawancara yang dilampirkan di bawah.
Beliau berkata, DAP terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda sama.